Nuffnang ads

Sunday 14 September 2014

Ride, Lemang & Dip 'n' Dip

Ride merupakan perkataan inggeris yang bermaksud menunggang motor. Selalunya digunakan jika kita nak pergi ke sesuatu tempat menggunakan motor. Contoh macam kita nak pergi Kepulauan Sakhalin di Russia naik motor. Kita akan ajak orang dan cakap "Jom kita ride pergi Kepulauan Sakhalin".

Lemang merupakan sejenis masakan tradisi yang disukai ramai. Lemang dijual sepanjang tahun, tetapi lebih meluas pada hari perayaan seperti hari-hari raya. Di Malaysia, lemang telahpun direkodkan sebagai hidangan istimewa sejak 1864 lagi. Lemang juga merupakan makanan orang asli Negrito yang ada di Kelantan. Lemang sering dihidangkan bersama rendang atau serunding. Lemang diperbuat daripada beras pulut dan santan yang dimasukkan ke dalam ruas buluh yang dilapik dengan daun pisang, sebelum dibakar sehingga masak. 

Dip 'n' Dip pula merupakan retoran yang menghidangkan makanan berasaskan coklat. Setakat ni yang aku tau, ada di Bangsar dan di The Curve Mutiara Damansara. Harga makanan memang kalau orang2 biasa tengok, boleh mencarut. Tapi kalau nak nampak cool dan buat orang fikir kita kaya, ini tempat yang sesuai.

Jadi, apa kaitannya antara tiga-tiga entiti ini? begini ceritanya..

Sulaiman merupakan seorang lelaki yang sudah berumahtangga. Dia juga seorang peminat dan penunggang motosikal berkuasa tinggi. Beliau memiliki sebuah motosikal berkuasa tinggi yang diberi nama K8. Namun, selepas pulang dari ride Negara Gajah Putih, keterujaan beliau terhadap menunggang motosikal berkuasa tinggi sedikit pudar. Mungkin kerana masih penat, motosikal K8 nya langsung tidak disentuh. Ke pejabat pun hanya menunggang kapcai.

Genap 2 minggu, keterujaan untuk menunggang kini kembali. Ditambah pula ada jemputan dari group wassap geng motornya untuk 'Ride Santai Ke Lemang To'ki", beliau berazam untuk menyertai ride tersebut. Tetapi, sebagai seorang suami yang bertanggungjawab, beliau harus memaklumkan dahulu perkara ini kepada isterinya. 

"Yang, esok Ahad ni I nak gi ride. Pergi Lemang To'ki kat Bentong, Pahang. Member ajak makan lemang" ujar Sulaiman tegas.

"Ok, boleh. Tapi dengan syarat bawak I pergi makan Dip 'n' Dip dulu" Jawab isterinya juga tegas.

Ahh sudah.. mintak Dip 'n' Dip pulak. Terbayang oleh Sulaiman senarai harga di dalam menu Dip 'n' Dip. Hanya harga 'Spring Water' tertera paling murah. RM2.50. Yang lain semuanya atas RM9.99.

Tetapi, Sulaiman patut bersyukur. Ini kerana rakannya lebih parah. Isterinya meminta beg tangan berjenama Michael Kors. Jadi, rakannya gagal dalam perjuangan untuk pergi ride.

Nak pergi ride jugak punya pasal, Sulaiman membawa juga isterinya menjamu selera di Dip'n' Dip The Curve. Walaupun jam sudah menunjukkan jam 10 malam, Sulaiman gagahkan juga dirinya untuk ke sana. Sulaiman masih tidak berpuas hati dengan harga makanan di restoran ini. Baginya, makan coklat sampai berpuluh-puluh ringgit adalah sangat tidak berbaloi. Lebih baik makan ayam goreng spicy McD.

 Gembira hati isterinya kerana dah 2 bulan meminta, baru kali ini dapat. Kalau tidak, ada sahaja alasan yang Sulaiman akan berikan. Tak berbaloi lah, baik beli choki-choki satu kotak lah, restoran Yahudi lah, ini semua agenda freemason illuminati lah dan bermacam-macam alasan lagi. Usai makan, selepas membayar bil berpuluh RM, isteri Sulaiman berkata, "Esok ride baik-baik tau. Jangan bawak laju".

'A Happy Wife May Bring Better Life For Husband'. Benar sekali pepatah inggeris ini. Esok Sulaiman akan ride selepas 2 minggu berehat. Malam itu Sulaiman sudah membayangkan jalan yang akan dilaluinya, selekoh yang akan disagatnya dan laluan lurus yang akan dipepahnya. Selepas itu terbayng pula lemang disajikan sekali dengan serunding dan rendang. Sulaiman terbayang kelazatnya. Sulaiman pun tidur dengan lena..

                                                           *******************************

Ahad, 14 September 2014, 7.00 pagi, hujan turun dengan selebat-lebatnya di bumi Selangor. Sulaiman yang sudah siap sedia memakai racing suit, memandang ke luar rumah dengan perasaan yang sedih. Beliau masih memegang resit Dip 'n' Dip The Curve dengan erat. Air mata bergenang di kelopak matanya. Manakala, isterinya masih tidur sambil tertawa kecil. 



  







No comments:

Post a Comment