Nuffnang ads

Monday, 26 December 2016

Selamat Berkenalan Wahai Beijing

Assalamualaikum semua. Aku macam biasa, lepas buat satu entri, terus senyap berbulan. Bila rasa nak menaip, baru la buat balik.



Awal bulan Disember lalu, aku dan isteri telah mengikuti rombongan Fasha Unggul Holiday ke Beijing, China. (Emmm.. Guna perkataan rombongan ni macam ikut rombongan sekolah pula rasanya). Sebenarnya bos pejabat aku dah lama rancang lawatan sambil belajar ni. Ada 5 orang dari cawangan Bank Rakyat Sg Buloh yang pergi. Mereka ialah aku dan isteri (Farhanim), En Zailani (bos) bersama keluarga, En Mus, Siti Khazani, suaminya (mirul) dan kedua mertuanya serta Hairi. Mula-mula aku tak rasa pun nak pergi. Kiranya ini minit terakhir (last minute) punya rancangan la. Semuanya disebabkan En Mus bagitahu bini aku, langsung bini aku nak pergi. Nasib baik dia sanggup bayar separuh. Aku pun ok sajalah.

1/12/2016

Lawatan kali ini mengambil masa 3 hari 5 malam. Dari rumah, aku, bini aku dan Hairi naik kereta dari Saujana Utama dan parkir di Putrajaya Sentral. Dari situ, kami menggunakan pula ERL terus ke KLIA. Serius mudah. Jimat pun iya juga. Di KLIA, kami berjumpa dengan baki peserta rombongan Fasha Unggul Holiday. Kebanyakan mereka dari Johor. Jumlah tepat peserta rombongan kami kali ini adalah seramai 28 orang.

ERL, mudah, jimat dan pantas

 Kami memulakan perjalanan dengan menaiki pesawat MAS bernombor MH360 pada pukul 730 malam. Dalam pesawat macam biasa, tidur, makan, tidur makan. Tau-tau je dah sampai Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing. 6 jam setengah juga perjalanan. Kami mendarat pada pukul 230 pagi. Melalui pembesar suara dalam pesawat, juruterbang mengatakan suhu di Beijing ketika itu adalah -4 darjah celcius. Memandangkan aku berdarah Siberia, suhu sebegitu tidak menjadi masalah bagi aku.

Masuk je terus nak tidur

Sudah sampai PRC


Selepas dah ambil bagasi apa semua, kami dijemput oleh pemandu pelancong kami bernama Michael. Orang Beijing, tapi fasih berbahasa Melayu. Ayat kegemaran beliau ialah "jom ikut Michael". Kami menaiki bas menuju ke hotel penginapan kami. Kat sini, kenderaan dipandu sebelah kiri. Tapi sebab aku dah lama tinggal kat Amerika Syarikat, benda ni biasa sahaja bagi aku. Orang lain ada rasa batak sikit la. Sikit je. Tak banyak. Setengah jam perjalanan, sampailah kami di Hotel City Inn. lepas daftar masuk, terus tidur.

Muka rilek padahal tahan sejuk depan hotel


2/12/2016

Kami bangun pukul 6 pagi. Sebab pukul 7 pagi dah nak bergerak dah. 3 jam je dapat tidur dengan selesa. Oleh kerana bini aku bawa makanan segera berjenama Brahim's dari Malaysia, kami bersarapan dalam bilik hotel je. Yang lain turun makan sarapan yang disediakan hotel.

Destinasi pertama kami ialah Dataran Tiananmen. Kemudian ke Kota Larangan. Sebelah-sebelah je tempat ni. Dataran Tiananmen ni luas. Kalau China buat perarakan hari kebangsaan, kat sini lah tempatnya. Dikatakan dalam satu-satu masa, dataran ini boleh memuatkan 2 juta orang. Luas berkali ganda dari Dataran Merdeka. Lepas dah ambil gambar dan berswafoto di sini, kami masuk ke Kota Larangan pula. Kota Larangan ini merupakan Istana kepada Maharaja China dulu-dulu, dari Dinasti Ming hingga Dinasti Qing. Siapa Ming dan Qing ni, tak tau la aku. Yang pasti dulu diorang ni Maharaja China. Di atas pintu masuk utama ke Kota Larangan ini, ada gambar besar Mao Ze Dong. Tau tak siapa Mao Ze DOng tu? Haaa, tak tau la tu. Beliau merupakan Presiden China yang pertama. Kebanyakan rakyat China menganggap Mao Ze Dong, selapas meninggal, telah menjadi dewa kepada mereka.  Dalam Kota Larangan ni tak ada yang menarik la bagi aku. Biasa-biasa je. Macam masuk Muzium Terengganu je.

Dataran Tiananmen. Luas.

Di hadapan Kota Larangan

Dalam Kota Larangan

Terasa macam dalam cerita kung fu. Sebab tu nak bergaduh


Destinasi seterusnya ialah kedai herba. Ini kedai kerajaan China. Memang syarat yang kerajaan China bagi kepada ejensi-ejensi pelancongan, mereka kena pergi paling kurang 6 kedai kerajaan China ni. Jadi ini merupakan kedai kerajaan yang pertama kami lawat. Dapat la urut kaki percuma. Sambil urut, tukang urut pun mengiklankan la minyak urut dan herba mereka. Masa dia tengah mengiklankan produk dia tu, aku baru memulakan urutan kaki yang sebelah kanan. Kaki kiri dah selesai dah. Bila aku cakap aku tak nak beli je, terus dia kata dah siap urut dan berlalu pergi meninggalkanku terpinga-pinga. Kaki kiri aku dia urut 5 minit. Kaki kanan dapat 5 saat je. Bukan tak nak beli, tapi mahal sangat harganya.

Sebelum diurut

Kemudian, kami pergi makan tengahari di restoran Cina Muslim. Tak ingat la pulak nama restoran dia tapi makanan dia sedap. Selepas itu kami ke satu lagi kedai kerajaan iaitu Kedai Buluh Karbon (Bamboo Carbon Shop). Kat sini dia jual barang-barang yang berunsurkan buluh. Ada jual seluar, baju dan macam-macam la. Bosan la jugak kat sini. Selesai di kedai buluh tadi, kami bersolat asar + zohor di masjid tertua di Beijing iaitu Masjid Niu Jie. Seni binaan dia lebih kurang dengan Masjid Beijing kat Rantau Panjang, Kelantan. Lepas sudah solat, kami pun pulang ke hotel sebab siang pendek je kat sini. Malam yang panjang. Tiada apa yang boleh dibuat waktu malam, kami pun tidur awal.

Dalam masjid

Taman dalam masjid

Sementara tunggu yang lain selesai solat

Seeeeeelangor! Tetap di hati


3/12/2016

Macam semalam juga, awal-awal pagi kami bangun. Hari ini jadual lawatan sangat menarik. Kami main ski dan ke Tembok Besar China. Tapi sebelum ke tempat main ski tu, sempat lagi kami singgah di kedai kerajaan yang ketiga. Kedai sutera. Lagi la bosan kat sini. Mula-mula je ok sebab tengok proses buat kain sutera dari ulat sutera. Lepas tu sesi menjual kain. Terus aku lepak luar kedai je sambil hisap nusantara hijau.

Dalam kotak kaca tu adalah kepompong ulat sutera

Yang ni kepompongnya boleh dipegang

Sejam setengah kemudian, akhirnya kami sampai di tempat main ski. Nama tempat ni Beijing Xuieshijie Ski Resort. Keterujaan hadir dalam diri semua orang. Pertama kali nak main ski ni. Nak main ski ni kena bayar 180 yuan untuk sejam. Dapat pinjam kasut dan papan ski. Di situ ada juga menyediakan jurulatih ski. Tapi kena bayar rm200 yuan. Tak nak ambil pun tak apa. Main sendiri-sendiri je. Aku kan hebat. Ibarat pemain ski profesional, aku meluncur laju di lapangan salji tiruan tersebut. Aku meluncur turun, aku meluncur naik. Semua orang terpegun dengan kehandalan aku bermain ski. Yamg lain-lain semua asyik jatuh je. Aku hanya tersenyum melihat telatah mereka. Lagi-lagi Hairi.

Sebelum melatih orang lain cara yang betul untuk bermain ski

"Ok tuan-tuan, buat macamni dulu ye"

Bersama salah seorang pelajar

Gambar ini dihantar oleh seorang peminat, aku tepekkan sahaja di sini

Pelajar sedang berlatih

Pelajar di hadapan tidak mendengar kata. Orang suruh tunduk, dia nak tegak jugak.

Selepas selesai memberi aksi bermain ski yang mengkagumkan, kami pergi makan. Tempat makan kali ini sekali dengan tempat solat zuhur + asar. Kawasan dia macam satu hentian besar untuk bas-bas pelancong. Tapi aku tak tau la nama tempat tu apa. Makanan pun sedap.

Selepas selesai semua urusan, kami terus ke Tembok Besar Cina. Kami ke bahagian yang dikenali sebagai Juyongguan Great Wall. Sekali lagi aku teruja. Pertama kali sampai ke salah satu dari tujuh keajaiban dunia. Kat sini paling banyak ambil gambar. Agar boleh menunujuk-nunjuk pada orang yang tak sampai kat sini lagi.

Juyongguan 

Nak naik atas tu

"di belakang saya adalah Tembok Besar China ya tuan-tuan. Bukan Tembok Berlin"


Aku cerita sedikit sejarah tembok besar ni. Tembok Besar Cina mengambil masa 100 tahun untuk disiapkan. Ia dibuat untuk menghalang kemaraan tentera Mongolia dari menyerang China. Panjang tembok ini adalah 6300++ km. Sejuta pekerja digunakan dalam satu-satu masa untuk membina tembok ini. Seorang ahli suka mengambil masa 2 tahun u tuk menjelajah keseluruhan tembok besar ini manakala untuk orang biasa, mati di tengah jalan. Ini apa yang Michael cerita kat kami la kan kalau dia tipu, maknanya aku menyambung sahaja penipuannya.

Kami sudah sampai

Terkenang memori sewaktu menjelajah keseluruhan Tembok Besar China dahulu

Di kubu nombor 14

Geng remaja

Tadi kami kat atas

Macam biasa, mesti ada gambar lompat


Selepas kepenatan turun naik Tembok Besar China, kami terus ke satu lagi kedai Kerajaan China. Kali ini ke kedai ubat pulak. Macam-macam la ubat yang mereka jual. Aku sebab menghormati tuan rumah, beli la dua botol ubat melancarkan perjalanan operasi buah pinggang. satu untuk aku dan satu untuk bini aku.

Kemudian, kami teruskan perjalanan ke pertunjukan akrobatik. Pertunjukan ini dibuat dalam dewan. Macam panggung wayang. Aku bagi 5 bintang untuk pertunjukan ini. Power. Macam-macam aksi yang mendebarkan ditunjukkan kepada kami. Tabik spring pada mereka. Patut la China power dalam acara gimnastik.

Bintang satu, bukan bintang 3

Pertunjukan akrobatik


Selepas selesai ditunjukkan aksi yang mendebarkan dan menyeronokkan, kami terus ke kedai makan untuk makan malam. Lepas makan, kami pun terus pulang ke hotel untuk membeli belah cenderamata. Michael bawa kawan dia, seorang penjual cenderamata ke hotel. Jadi kami beli je dengan dia. Murah dan mudah. Selepas selesai membeli belah, semua pun tidur.

4/12/2016

Ulang balik aktiviti pagi semenjak 2 hari lepas. Bangun tidur dan sarapan. Tapi kali ini kami terus daftar keluar dari hotel. Sebab lepas lawatan hari ini, kami akan terus ke airport untuk pulang ke Malaysia.  Pagi ini kami ke satu lagi kedai kerajaan iaitu kedai jade. Kedai ni dekat-dekat dengan Stadium Sarang Burung. Ok, kat sini aku nak cerita sikit taktik dan cara mereka menjual jade kepada pelancong.

Depan pintu masuk kedai jade. Kedai dia bawah tanah.

Mula-mula, kami dibawa ke sebuah bilik. Tak lama kemudian, masuk seorang pekerja kedai tu. Dia terangkan la pasal batu jade. Lepas tu dia cakap hari ini bos dia tiada kat sini. Tiba-tiba datang seorang lagi, berbisik dengan yang pekerja pertama tadi. Rupa-rupanya bos dia datang secara mengejut. Dia pun pura-pura cuak. Dia pun cakap kat kami supaya cuba untuk menggembirakan hati bos dia kalau bos dia masuk dalam bilik tu. Untung-untung boleh dapat hadiah dari bos dia. Kalau dia suruh tepuk tangan, kami pun kena tepuk tangan. Tak lama lepas tu, bos dia pun masuk. Bos dia pun memperkenalkan diri. Dia datang dari Macau. Uruskan kasino di sana. Pastu bila tau kami dari Malaysia, dan-dan dia cakap bini dia dari Malaysia gak. Duduk di Cheras. Dia kata bini dia sedang melihat melalui cctv. Pastu dia suruh lambai kat cctv tu. Kami pun ikut lambai. Macam sial. Haha. Bos dia kata kami semua beruntung kerana hari ini adalah ulang tahun ke 30 syarikat dia. Jadi dia hadiahkan setiap orang sebiji batu jade. Wowww. Untungnya kami. Sebab dapat percuma.

Selepas itu kami dibawa ke bilik sebelah. Kat bilik ni ada banyak barang perhiasan jade untuk dijual. Kat sini kami bermain menjawab soalan. Siapa dapat jawab, dapat hadiah. Bini aku, En Zailani dan Hairi dapat barang kemas jade percuma sebab dapat jawab soalan. Lepas habis semua, bos dia pun cakap, "Hari ini sempena ulang tahun syarikat kami, kami tak nak berniaga. Tapi kamu semua bolehlah menyumbang sedikit kepada kedai kami dan kami berikan barang jade". Haha. Saiko siot. Gila babi dia bagi diskaun. Entah betul ke tidak harga tu. Dari ratus ribu yuan, terus jadi ribu yuan je. Aku malas nak beli, aku pun lepak luar kedai. Sekali bila semua dah keluar, ramai juga yang terjebak rupanya. Termasuk la si Hairi. Ramai yang kata jade tu palsu. Entahla.

Selepas itu, kami pun berjalan kaki ke Stadium Sarang Burung. Stadium ini merupakan stadium utama untuk temasya olimpik di Beijing pada tahun 2008. Sekali lagi sejarah tercipta untuk diri aku. Pertama kali menjejakkan kaki ke venue olimpik. Aktiviti utama di sini adalah mengambil gambar. Tapi gambar stadium kurang jelas. Sebab sekarang Beijing tengah pencemaran udara. Tapi sebab suhu sejuk, nampak macam kabus. Padahal, jerebu.

Pintu masuk taman olimpik

Sarang burung

Kalau aku yang ambik gambar, memang tak pernah mengecewakan

Tugu olimpik
Maskot olimpik 2008

Selepas itu, kami ke kedai kerajaan yang terakhir kami akan lawat. Kedai teh. Kedai ni menjual bermacam-macam teh. Tapi mahal. Lupa nak bagitahu, semua barang yang kedai kerajaan China ni jual, semua mahal. Tapi sebab taktik menjual mereka agak bagus, ramai juga yang beli. Aku macam biasa, malas beli. Bukan apa, duit dah habis buat beli cenderamata malam tadi.

Depan kedai teh

Kemudian, kami meneruskan perjalanan kami ke Masjid Nan Dou Ya untuk bersolat asar + zuhur. Selepas itu, kami bergerak ke tempat membeli belah terakhir, iaitu Xiu Shui Market. Lepas ni ada satu lagi tempat lawatan. Tapi tak ada membeli belah dah kat situ. Dikatakan di sini, jika hati kental dan pandai tawar menawar, boleh dapat barang ala-ala mewah pada harga yang sangat murah. Kenapa aku kata hati kena kental? Sebab kalau mintah murah, memang kena maki dengan peniaga kat situ. Aku kena marah sekali, aku lempang terus peniaga tu. Menangis dia minta maaf kat aku. Tapi di sini tak ada yang menarik minat aku untuk membeli belah. Jadi tiada apa yang dibeli.

MaSjid Nan Dou Ya

Xiu Shui Market

Selepas pulang dengan tangan kosong, kami terus ke tempat lawatan terakhir kami di Beijing iaitu The Place. Tempat ini menempatkan skrin LED terbesar di dunia. Masa kami sampai, Skrin LED ni cuma menanyangkan iklan statik je. Lama kami tunggu. Tak muncul-muncul juga tayangan yang bergerak. Lama sangat tunggu, kami pun naik bas untuk ke airport. Elok je bas bergerak, barula tayangan dimulakan. Macam haram.

The Place

Skrin LED terbesar di dunia

Penat mendongak, baring sajalah.

Sebelum sampai airport, kami berhenti makan dulu. Sesudah mengisi perut, kami pun terus ke airport. Tapi sampai awal sangat pulak. Kena tunggu 2 jam baru boleh daftar masuk. Tepat pukul 2 pagi, kami pun berangkat pulang ke Malaysia. Kami tiba di KLIA pada pukul 9 pagi, 5 Disember 2016.

Jom balik

Tamat sudah lawatan sambil belajar kami ke Beijing. Kesimpulannya, ada perkara yang aku puas hati dan yang aku kecewa sedikit Yang aku puas hati, dapat pergi Tembok Besar China, main ski dan pergi ke Stadium Sarang Burung. Yang aku kecewa sikit pulak,sebab salji original tak ada. Yang kat ski tu salji buatan. Tapi secara keseluruhan, dengan bajet yang minima, ia satu percutian yang menggembirakan.

Terima kasih kepada Fasha Unggul Holiday, terutamanya Cik Wan Sha (Eija) sebab dapat menganjurkan lawatan yang best. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada pengurus Bank Rakyat cawangan Sg Buloh iaitu En Zailani sebab memberi cadangan dan menggerakkan untuk buat lawatan ini. Terima kasih juga kepada Mr Ho atau En Mus, Siti Khazani dan Mirul (suami dia) dan Hairi sebab kebanyakan masa kita dalam satu kumpulan dalam lawatan kali ini. Juga kepada geng-geng Johor (maaf sebab tak ingat nama) sebab bersama-sama memeriahkan perjalanan ke Beijing kali ini.

Akhir kata, jauh perjalanan, luas pandangan, bertambah pengetahuan.. pengalaman.. - Spring

P/s : ke mana pula kita tahun depan ye?







No comments:

Post a Comment