Nuffnang ads

Monday, 11 December 2017

KEMBARA TURKI, KEMBARA NEGARA DUA BENUA (PART 1)


Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat pembaca entri aku pada kali ini. Mudah-mudahan semuanya dilindungi oleh Allah SWT. Ye, aku tahu, lebih setahun dah blog ini dibiarkan bersawang. Tidak diusik langsung oleh aku sendiri. Bukan apa, inilah akibat terlalu sibuk mengejar hal-hal duniawi.

Tetapi, secara tiba-tiba, aku bagai mendapat semangat baru untuk menaip semula. Ya, ini kerana, banyak benda aku nak tulis sempena aku, isteri dan adik ipar mengikuti rombongan lawatan ke Turki oleh agensi pelancongan Nusa Travel pada 2-11 Disember 2017 yang lalu. Aku nak kongsikan pada semua dengan harga RM3888, apa yang ditawarkan oleh Nusa Travel kepada kami 42 orang peserta, sepanjang tempoh kami di Turki. Memori dan kenangan yang indah tidak cukup untuk hanya disimpan di dalam fikiran. Takut-takut lupa. Ni tengah segar lagi, blog ni akan jadi peti simpanan kedua untuk memori di Turki.

2 Disember 2017 (Hari Pertama) - Pukul 6.45 petang kami dah sampai KLIA dengan menaiki GRAB. Sebenarnya Nusa Travel suruh berkumpul di depan kaunter H pukul 8 malam. Kumpul depan kaunter H tu sebab kat KLIA, situ la tempat paling banyak kerusi. Sementara menunggu pukul 8 tu, aku sempat hisap rokok 2-3 batang sambil menginstagramkan menara kawalan KLIA dan solat Maghrib di surau. Tepat pukul 8, kami dibawa ke kaunter M pula untuk urusan check in pesawat dan bagasi. Kami menaiki pesawat Airbus A340-300, Mahan Air. Ini Iran punya syarikat penerbangan ni. Wakil agensi, En  Naz membantu kami sehingga selesai walaupun dia kena lead satu lagi group ke Itali malam tu. Selesai semua urusan, kami pun terus ke balai berlepas dan pesawat bergerak ke Iran pukul 12.30 am, 3 Disember 2017. Lambat sejam dari jadual.

Sambil sap kok, sambil berinsta

Group kami seramai 42 orang. Group 20 untuk Nusa Travel ke Turki

Bila dapat tiket ni, dah terbayang kapal terbang penuh dengan surat berdaftar.

Adik ipar, bini aku dan aku. 

3 Disember 2017 (Hari Kedua) - Pukul 4.30 pagi waktu Iran, kami selamat mendarat di Imam Khomeini International Airport, Tehran untuk transit selama 2 jam. Teruja juga aku bila transit kat sini sebab ini Iran. Tak ramai yang nak pergi negara ni. Rare jugak la. Dengan azan dia tak sama macam Malaysia, stail solat pun lain, batu karbala, semuanya adalah perkara baru dalam hidup aku. Selama ni hanya baca dari sumber bacaan je, sekarang kita dapat lihat sendiri. Sempat juga la aku ambil sesuatu dari surau dia sebagai kenang-kenangan. 

IKIA - Imam Khomeini International Airport, Tehran

Cenderamata kenang-kenangan

Tepat pukul 6.50 pagi, kami terbang dengan pesawat syarikat yang sama dan tiba di Atartuk International Airport, Istanbul pada pukul 9.35 pagi waktu Turki. Suhu Istanbul direkodkan pada 12° Celcius ketika itu. Malang buat salah seorang peserta rombongan, bagasi dia tak sampai. Salah naik kapal terbang kot. Setelah selesai buat report kehilangan bagasi, kami dijemput oleh pemandu pelancong Turki kami iaitu En Uygur Emre Aras. Beliaulah yang akan menjaga kami sepanjang kami di Turki. Pemandu bas kami pulak bernama Ilhan. Terus teringat pada Ilhan Mansiz. Bekas pemain bola sepak kebangsaan Turki. Cerita sedikit tentang Istanbul, bandar paling besar di Turki ini terbahagi kepada dua bahagian. Satu di benua Asia dan satu di benua Eropah. Populasi di Istanbul sahaja mencecah angka 15 juta orang. Pernah menjadi ibu negara Turki sebelum ditukarkan ke Ankara oleh Mustafa Kemal Attartuk. Lapangan terbang adalah di bahagian Eropah Istanbul, jadi boleh dikatakan perjalanan kami ini bermula dari Asia (Malaysia), menuju ke Eropah (Istanbul),  masuk ke benua Asia untuk lawatan selama 6 hari dan akan kembali semula ke Eropah untuk naik kapal terbang balik ke Asia. 
Istanbul, aku datang

Istanbul, aku dah sampai

Baru lepas keluar imigresen Turki, ambik jelah gambar apa-apa pun.

Kwasan tunggu bas datang 

Keluar je dari lapangan terbang, kami terus pergi makan tengahari berdekatan dengan kawasan Masjid Sultan Ahmet. Masjid ni pun dikenali sebagai Masjid Biru. Lepas makan, kami berjalan kaki menuju ke Masjid Biru melewati 3 obelisk peninggalan sejarah zaman pemerintahan Rom (Constantinople). Ada satu obelisk tu, nama dia Tuthmosis Obelisk, dibawa dari Mesir atas arahan pemerintah Rom ketika itu, Thedosius 1. Lagi 2 obelisk tu iaitu Serpent Column dan Obelisk Byzantine malas pulak nak cerita, panjang sangat. 

Obelisk Tuthmosis

Obelisk Byzantine

Kebetulan ketika kami sampai je Masjid Biru, azan Zuhur berkumandang. Kami terus ambil wuduk. Kaki aku krem masa berwuduk sebab air dia sejuk sangat. Kami pun berjemaah sekali bersama orang-orang Turki yang lain di masjid tersebut. 

Tempat ambil wudhuk Masjid Biru

Masjid Biru
Dalam masjid
Bumbung masjid

Orang-orang besar je kot solat atas ni.

Masjid Biru ni ada 6 menara. Apa yang menarik, sebanrnya Sultan Ahmet nakkan satu Masjid yang berkubah emas. Tapi, kontraktor yang buat masjid tu dengar Sultan Ahmet nak buat Masjid bermenara 6. Dalam bahasa Turki, 'enam' dan 'emas' bunyinya seakan sama. Terjadilah Masjid bermenara 6. Ok, yang ini pemandu pelancong aku yang cerita. Kalau dia tipu, tipulah aku.

Masjid Biru @ Masjid Sultan Ahmet

Selepas lawatan di Masjid Biru, kami berjalan kaki ke Topkapi Palace pulak. Perjalanan kami melewati Hagia Sofia, Gereja yang berubah menjadi masjid dan kini menjadi muzium. Elok nak masuk tempat ni, terserempak dengan kenalan lama kat sini. Kat Malaysia tak jumpa, kat Istanbul jugak jumpanya. Lepas salam-salam dan ambil gambar bersama, kami pun masuk dalam Topkapi Palace.

Hagia Sofia. Yang botak tu Encik Aras, pemandu pelancong kami.
Terjumpa pulak Syed kat sini. 

Topkapi Palace ni dulu adalah pusat pemerintahan kerajaan Uthmaniyah yang keempat. Yang pertama di Sogut, kedua di Bursa, ketiga di Edirne dan keempat di Constantinople (Istanbul) . Bertempat di tepi Bosphorus bahagian Eropah, pemandangan yang terhidang di sini sangatlah lawa.  Kita boleh melihat bahagian Asia untuk Istanbul di seberang Bosphorus. Apa yang menarik dalam Topkapi Palace ni, dalam satu muzium di dalam ini, ada disimpan beberapa barang kebesaran nabi-nabi kita. Ada pedang Nabi Muhammad SAW dan Nabi Daud, panah Nabi Muhammad SAW, tongkat nabi Musa yang dikatakan membelah Laut Merah, pedang-pedang sahabat seperti pedang Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali. Terdapat juga bekas tapak kaki, serpihan gigi, peti simpanan jubah, dan kotak simpanan janggut Nabi Muhammad SAW. Banyak lagi la barang-barang peninggalan nabi-nabi dan para sahabat dalam ni. Malangnya, pelancong tidak dibenarkan untuk ambil gambar. Rasa terharu sangat bila dapat melihat barang-barang ini semua. Selepas tamat lawatan di sini, kami berjalan kaki lagi ke bas dan bertolak menuju bandar kedua dalam lawatan kami iaitu Bursa. Perjalanan selama 3 jam, kami melalui Jambatan Bosphorus yang menghubungkan benua Asia dan Eropah. Tiger Woods pernah membuat pukulan driver di atas jambatan ini dan menghantar bola golf itu dari Asia ke Eropah. Pukul 830 malam, kami tiba di hotel Karavansaray di Bursa, makan malam di hotel, mandi dulu sebab dah lebih 24 jam tak mandi, main facebook sebab ada wifi hotel dan akhir sekali tidur.

Sebagai model, aku tidak dapat lari dari paparazi. Ada je yang ambil gambar.

Pintu masuk Topkapi Palace

Pintu masuk Topkapi Sarayi
40 Turki Lira, termasuk dalam pakej
Pemandangan dalam Topkapi Palace

Belakang aku tu Istanbul belah Asia

Salah satu bangunan dalam Topkapi Palace
Jambatan Bosphorus, salah satu jambatan yang menghubungi Asia dan Eropah.

4 Disember 2017 (Hari Ketiga) - Perjalanan lawatan kami pada hari ini bermula pukul 7.45 pagi. Lawatan pertama pada hari ini ialah Green Tomb, makam sultan kelima Kerajaan Uthmaniyah iaitu Sultan Mehmet I bersama ahli kelurganya. Seleoas itu kami ke Green Mosque pula di hadapan Green Tomb ni. Dibina pada tahun 1415 hingga 1419, masjid ini digunakan sebagai tempat perkembangan Islam di Bursa.

Di hadapan hotel

Green Tomb

Makam dalam Green Tomb

Green Mosque

Dalam Green Mosque
Bursa. Bukan Bursa Saham Kuala Lumpur ye.

Selepas itu, kami menaiki bas dan menuju ke Koza Han Market. Ia adalah sebuah pasar kain sutera. Juga dibina zaman dulu-dulu, ia masih bertahan sehingga kini dan menjadi tempat persinggahan pelancong untuk dapatkan barangan sutera.

Koza Han Market

Dalam market

Sebelah Koza Han Market ni, terletaknya Grand Mosque. Masjid yang dibina pada kurun 14 oleh Sultan Bayezid I, salah seorang sultan zaman Uthmaniyah, dibina mengikut senibina Selcuk dan masih kukuh berdiri sehingga hari ini. Ok kat Turki ni, memang banyak bangunan lama yang dibina sejak kurun ke 13, masih cantik dan kukuh sampai la sekarang. Selepas selesai lawatan di Bursa, kami pun menuju ke hotel kami yang kedua, Charisma hotel di Kusadasi. Hotel ni cantik sebenarnya, tepi Laut Aegean, sempadan dengan Greece (Pulau Samos), tapi kami tiba pun dah malam. Esok pagi nak gerak pun gelap lagi. Rugi pemandangan.

Ulu Camii @ Grand Mosque

Grand Mosque
Sampai hotel Carisma dah malam, ini je la yang nampak.

Cukuplah untuk part 1 ni. Perjalanan hari yang lain akan disambung pula dalam entri yang lain. Ada lagi 7 hari. Nantikan kemunculannya. 

2 comments: