Nuffnang ads

Saturday, 16 December 2017

KEMBARA TURKI, KEMBARA NEGARA DUA BENUA (PART 3)

Assalamualaikum semua. Kita sambung bahagian 3 untuk Kembara Turki kita. Ya, yang bahagian 2 tu agak panjang sebenarnya. Kali ni aku cuba untuk pendekkan sependek mungkin. Bukan apa, teruja nak cerita secara terperinci agar yang membaca tertarik nak pergi Turki sama (Harap-harap Turkiye Tourism baca rencana aku ini dan berminat untuk bayar komisen).

Mentol lampu

8 Disember 2017 (Hari ketujuh) - Seawal 630 pagi, kami telah bergerak ke tapak pelancaran belon udara panas. Perjalanan dari hotel ke tempat belon mengambil masa selama setengah jam. Suhu merekodkan -5° celcius. Memang suhu yang ideal untuk terbang.

Tak sabar. Dia dah terbang dulu.

Persiapan belon sebelum terbang

Pukul 715 pagi, kami tiba ke tapak berlepas. Tapak perlepasan belon kami adalah di atas bukit paling tinggi dari belon-belon orang lain. Power kan? Tour leader kami, Encik Aras, sudah menyiapkan segala keperluan dan apabila kami sampai, lepas ambik gambar sekeping dua dari darat, terus kami masuk ke dalam bakul yang akan diterbangkan dalam bila-bila masa sahaja. Satu bakul belon udara panas boleh memuatkan 21 orang termasuk seorang pilot.

Belon-belon dah mula terbang dah.

Setelah memeriksa dan berpuas hati dengan semua aspek keselamatan, akhirnya kami pun terbang menuju ke awan. Allahu, seronoknya tak terkata. Aku sedang mengalami dan merasai benda yang paling aku nak buat di Turki. Ibarat kalau tak dapat naik belon ni, serupa tak payah pergi Turki lah. Terima kasih sangat-sangat kepada Encik Aras sebab berusaha juga memenuhi impian kami walaupun aktiviti ini pada mulanya dibatalkan.

Hoo yeaahhh. Sudah terbang!

Pandangan dalam belon

Kami terbang setinggi 800 meter dari tanah. Sejuk betul kat atas tu. Kami disajikan dengan pemandangan yang indah. Daratan serta bukit bukau yang yang dilitupi salji menambahkan lagi kecantikan pemandangan kami. Berpuluh-puluh belon udara panas lain juga sudah berada di udara. Bonus awal pagi, ketika kami di udara, matahari sedang muncul dari ufuk timur. Alhamdulillah, Allah memberi peluang kepada kami untuk menyaksikan sendiri sesuatu yang indah seperti ini.

Matahari belum muncul

Terbitnya matahari dari ufuk timur

Bentuk muka bumi Cappadocia

Layan sendirian

Subhanallah..



:)


Hujung tu Bandar Avanos

Hello Cappadocia













Selepas sejam berjalan-jalan di udara, kami pun mendarat di satu kawasan lapang di sebelah Zelde Open Air Museum yang kami lawat semalam. Yang powernya, belon-belon ni mendarat terus di atas gerabak yang ditarik di belakang kenderaan pacuan 4 roda. Power, power. Di darat, kami diraikan dengan membuka champagne tanpa alkohol dan kami minum bersama-sama sambil berparti. Kemudian, kami pun terus pulang ke hotel untuk bersarapan dan seterusnya menaiki bas untuk ke Ankara dan Bolu pula. Selamat tinggal Cappadocia.

Cheers!

Alhamdulillah. Kami berjaya naik juga akhirnya.

Perjalanan ke Ankara mengambil masa selama 3 jam. Di pertengahan jalan, kami berhenti untuk melawat 'Karavansaray'. Apa bendanya ni? Ok, Karavansaray adalah hotel atau tempat istirehat pedagang-pedagang yang melalui laluan sutera dari Xian, China hingga ke Istanbul. Setiap 40 km, dari Xian hingga Istanbul akan terdapat sebuah Karavansaray. Hotel ini bukan sahaja menyediakan tempat rehat untuk pedagang, malah menyediakan tempat istirehat dan rawatan untuk unta dan kuda yang membawa muatan barang dagangan. Penjagaan untuk haiwan-haiwan ini adalah lagi penting dari pedagang itu sendiri.
Inilah Karavansaray

Dalam Karavansaray

Pedagang kurma

Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Ankara melalui sebelah tasik yang diberi nama Salt Lake. Tasik ini menyediakan 70% bekalan garam kepada seluruh Turki. Tak dalam mana pun tasik ni.. Titik paling dalam pun dikhabarkan hanya 2.5 meter sahaja.

Kami tiba di Ankara pada pukul 3.45 petang. Bas terus membawa kami ke Anitkabir, iaitu tempat bersemadinya jenazah wira dan presiden pertama Republik Turki moden,  Mustafa Kamal Attartuk. Di dalam kawasan ini terdapat muzium perang dan juga muzium barang-barang peribadi Mustafa Kamal Attartuk. Kami jalan sekali lalu je, sebab muzium dah nak tutup. Ada juga la gambar yang diambil untuk kenang-kenangan. Pukul 530 petang, kami bertolak pula ke Bolu dan tiba di Hampton by Hilton pada pukul 830 malam. Di Bolu ini, kami takde melawat mana-mana pun. Hanya perhentian untuk tidur.

Dataran depan memorial MKA

Ni bahagian atas. Kubur MKA yang betul di tingkat bawah. Masuk melalui muzium.

Pengawal muzium

Memorial Mustafa Kamal Attartuk

Laluan dalam muzium

Turkiye

9 Disember 2017 (Hari kelapan) - Kami memulakan perjalanan pulang ke Istanbul pada pukul 815 pagi. Perjalanan ke Istanbul mengambil masa 3 jam. Sepanjang perjalanan aku tidur, jadi aku tak ada benda untuk diceritakan.

Kami tiba di Istanbul pada pukul 10.15 pagi. Kami terus menaiki feri atau lebih dikenali sebagai Bosphorus Cruise di jeti sebelah benua asia. Selama sejam kami bersiar-siar di sepanjang terusan Bosphorus ini. Aku cerita sikit tentang Bosphorus. Bosphorus ini adalah laluan utama kapal-kapal besar untuk ke Laut Hitam dari Laut Mediterranean, Laut Aegean dan Laut Marmara. Bila dah masuk Laut Hitam, kapal-kapal ini boleh terus ke Russia. Setiap tahun, lebih kurang 45,000 kapal besar melalui laluan ini. Ok, itu je yang aku tau.

Pagi yang berkabus di Bolu

Bosphorus Bridge

Seeeeeeelangor!

Ada yang cakap ini mafla Galatasaray.

Boleh buat cover untuk poster filem Istanbul Aku Datang

Layan seagull yang ikut je belakang feri


Lepas sejam kami berjalan-jalan di atas feri, kami turun di jeti sebelah eropah pula. Jeti ni dekat sangat dengan Vodaphone Arena, iaitu stadium untuk pasukan bola sepak Besiktas JK. Tapi lawatan ke stadium tiada dalam jadual. Aku hanya dapat melihat dari jauh sahaja stadium tersebut.

Kemudian, kami dibawa makan tengahari di bawah jambatan Galata. Di atas jambatan ini pula terdapat beratus-ratus orang Turki yang sedang memancing. Ikan tak besar mana pun. Tapi dah hobi mereka, biarlah. Ye dak?
Ikan temenung

Deretan pemancing di atas Jambatan Galata

Aktiviti selepas makan ini adalah aktiviti yang paling ditunggu-tunggu oleh ahli rombongan wanita. Aktiviti membeli belah di Spice Market dan Grand Bazaar. Spice Market banyak menjual manisan Turki ataupun nama glamernya Turkish Delight. Macam-macam delight ada dalam ni. Grand Bazaar pula dikatakan tempat shopping terbesar di dunia. Ada lebih 4000 kedai di dalamnya. Tapi, apa yang menghampakan, barang-barang yang dijual adalah sama di antara kedai-kedai dalam tu. "Teh, baju, seramik, cenderamata dan ulang sampai mampus" kata abang jamil. Kami di sini sampai Grand Bazaar tutup iaitu sampai pukul 7 malam. Kemudian kami makan di sebuah restoran Indonesia dan terus pulang ke hotel. Perasaan sedih mula terasa kerana ini adalah malam terakhir di bumi Turki.
Spice Market

Grand Bazaar

10 Disember 2017 (Hari kesembilan) - Hari ini adalah hari terakhir dari kami di Turki. Beg yang sebelum ini ringan sahaja kini menjadi dua kali ganda berat. Kami akan terbang pulang ke Malaysia pada pukul 1130 pagi. Jadi kami sudah berada di Lapangan Terbang Attartuk pukul 830 pagi. Selepas selesai check in apa semua, kami pun terus ke balai berlepas dan meninggalkan Turki dengan membawa beribu kenangan manis. Kami transit selama 6 jam di Tehran lagi dan sampai di Kuala Lumpur pada hari kesepuluh kembara kami, 11 Disember 2017, pukul 1045 pagi.
Depan hotel sebelum bergerak

Inilah driver kami, Ilhan.

Transit di Tehran

Selamat tinggal Turki

Alhamdulillah, selamat sampai KLIA bersama kenangan manis dari Turki.

Jadi inilah coretan pengalaman aku sepanjang kembara aku di Turki, negara dua benua. Tak mustahil untuk aku pergi lagi jika ada rezeki. Turki memang sebuah negara yang cantik. Pergilah ke sana dan rasailah sendiri pengalaman yang sangat hebat ini.

Sehingga kita berjumpa lagi. Bye bye Turki.



Tuesday, 12 December 2017

KEMBARA TURKI, KEMBARA NEGARA DUA BENUA (PART 2)

Assalamualaikum semua, kembali kita untuk bahagian kedua Kembara Turki, Kembara Negara Dua Benua. Kali ini aku akan menceritakan pengalaman aku bermula dengan hari ke 4 hingga hari ke 6 kembara kami di Turki.



5 Disember 2017 (Hari ke 4) - Kami bertolak dari hotel menuju ke tempat lawatan pertama kami hari ini seawal jam 7.45 pagi. Kami akan melawat Ephesus, salah satu kota peninggalan empayar Rom di Turki. Sebelum bertolak tu sempat la ambil gambar pemandangan hotel Carisma ni. Bolehla nampak sikit dalam keadaan samar-samar pagi. Bolehla nampak laut.

Gambar depan hotel

Romantik sikit la sebab harini anniversary kitorang yang ke 8

Ok dapat juga gambar laut

Lawa Kusadasi ni. Ada iras Santorini sikit. 

Cerita ringkas tentang Kota Ephesus ini, ia sebenarnya adalah kota Yunani Kuno dan berjaya ditawan akhirnya oleh tentera Rom. Di dalam kota ini terdapat Kuil Artemis iaitu salah satu daripada 7 keajaiban dunia kuno. Power kan? Selain itu, di dalam kota ini juga terdapat perpustakaan Celsus, perpustakaan ke 3 terbesar di dunia pada zaman itu. Perpustakaan ini didedikasikan kepada Tiberius Julius Celsus Polemaeanus yang merupakan senator Rom pada ketika itu. Banyak lah lagi benda-benda sejarah dalam kota ini seperti Grand Theatre (tempat orang buat teater kot), Kuil Hadrian, Gate Of Hercules, Bath Of Varius, Kuil Domitian, State Agora dan Memmius Monument. Kota Ephesus dikatakan kota kedua terbesar empayar Rom selepas kota Rom itu sendiri. Populasinya pula dianggarkan 250,000 orang. Kota ini musnah akibat gempa bumi pada tahun 614 M dan sekarang masih dalam proses pemuliharaan oleh pihak berwajib.

Ini Great Theatre. Tempat buat persembahan dan lawan binatang.

Papan tanda pengiktirafan Unesco

Cover Maskulin Jan 2018 di hadapan Bath Of Varius

Thor vs Hela di Basilica

Tempat bersidang di Odeon 

Group photo untuk kenang-kenangan

Aku sedang memikirkan sesuatu yang serius. Kenapa Liverpool power sangat menang sampai 7-0?

From Prytaneion with love

Curetes Street

Hercules Gate

Scholastica Bath

Di hadapan Temple Of Hadrian

Dating di hadapan Library Of Celsus

Pusat Komersial Agora

Lawa baq hang Kota Ephesus ni. Memang aku dah lama nak pergi tempat-tempat macam ni. Terasa diri macam seorang gladiator pula bila berjalan-jalan dalam kota ini. Rasa macam Achilles dalam cerita Troy pun ada. Seperti biasa, pengambilan gambar di sini adalah wajib dan tidak dilupakan. Lupa nak cerita, kat sini jugak ada House Of Virgin Mary. Orang-orang kat sini percaya Virgin Mary menghabiskan sisa-sisa hidupnya di dalam kota ini.

Library Celsus dan Gate Of Mazeus

Im feeeeel good. Yeah.

Selepas puas berjalan dan bergambar dalam Ephesus, kami pun bergerak ke butik pakaian kulit Tolar. Dikatakan, kebanyakan jenama terkenal dalam dunia ini mengimport produk kulit mereka dari Turki. Contohnya seperti Michael Kors, Fossil dan lain-lain. Butik Tolar ini adalah salah satu tukang eksport barangan kulit mereka kepada syarikat jenama-jenama power ini. Mungkin melihat aku sangat handsome, bertubuh sasa dan bergaya, mereka telah mempelawa aku untuk memperagakan jaket kulit mereka. Aku dengan senang hati menerima pelawaan itu dan mula mengatur langkah kemas di atas pentas. Gadis-gadis Turki terpesona dan mula hilang akal memanggil-manggil nama aku apabila aku membuka sedikit butang baju menampakkan dada yang bidang.

Model-model kacak

Pusat pakaian kulit terkemuka (ye ke?)

Ayuhhh. Joget laambak.

Salah seorang gadia Turki yang baru sedar dari histeria.

Selepas beberapa gadis Turki yang pengsan dikejarkan ke hospital, kami meneruskan perjalanan ke Masjid Isa Bey. Oh ya, lupa nak cerita, lepas kota Ephasus, kami sempat melalui gua Ashabul Kahfi versi Turki. Tapi ramai percaya gua sebenar Ashabul Kahfi terletak di Jordan. Adakah orang Turki ini sama macam orang Indonesia yang suka claim semua benda berasal dari tempat mereka?

Sampai di Masjid Isa Bey, hujan pun turun. Masjid Isa Bey ni masjid lama macam masjid-masjid yang aku lawati sebelum ini. Bey tu maksudnya ialah tuan. Jadi Tuan Isa ni adalah seorang ahli agama la kot. Sebab tu namanya diabadikan di masjid ini. Apa yang menarik tentang masjid ini ialah tentang seni pembuatannya. Ia dibina mengikut gaya Selcuk. Selcuk ni adalah kerajaan sebelum Uthmaniyyah. Sekali lagi aku malas nak cerita pasal Selcuk ni sebab kalau cerita, jadi panjang sangat entri aku kali ini.

Monumen Tuan Isa

Pengiktirafan Unesco lagi

Masjid Isa Bey


Selepas selesai solat Zohor dan jamak Asar sekali di masjid Isa Bey, kami pun meninggalkan kawasan ini untuk menuju pula ke Pamukkale. Perjalanan mengambil masa selama 5 jam. Habis dah aktiviti untuk hari ke 4. Sampai Pamukkale, kami terus check In hotel di satu pekan kecil bernama Karahayit. Ada kolam air panas dalam hotel ini. Lepas makan malam, macam biasa main fesbuk dulu, kemudian tidur.

Pintu gerbang masuk ke Karahayit

Bulatan air panas

Patung siapa entah.


6 Disember 2017 (Hari ke 5) - Kami bergerak ke tempat lawatan pertama hari ini pada pukul 7.45 pagi. Lawatan pertama ialah kolam air panas bertingkat Pamukkale. Tempat ni terletak di sebelah Kota Heirapolis, satu lagi kota tinggalan Yunani kuno di Turki. Tak masuk pun Heirapolis ni, tengok dari luar je. Lagipun kawasan dia luas sangat. Masa yang diperuntukkan pula tak lama. Sebab nak jalan jauh lagi lepas ni.

Pamukkale!

Putih-putihbtu bukan salji. Tapi kalsium. 


Kawasan ni atas bukit, angin kuat pulak tu. Sejuk gila. Ada harapan salji nak turun ni. Tapi aku lawan jugak rasa sejuk tu sebab nak rendam kaki dalam kolam air panas. Nak pergi ke kolam tu kena buka kasut. Sekali lagi kaki krem. Kena berjalan lebih kurang 10 ke 15 meter tanpa kasut, baru sampai kolam. Dapatlah jugak rendam kaki dalam air suam. Nama je kolam air panas, tapi tak panas langsung. Lebih kurang sejam setengah juga kami habiskan masa di sini. Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke Konya pula. Dekat 5 jam juga la perjalanan kami. Apa yang ada di Konya? Ya, musoleum Mevlana Jalaluddin Al-Rumi. Seorang ahli sufi terkenal di Turki.

Pintu masuk Heirapolis

Ada simit peninggalan kota Heirapolis

Jauh sangat, malas nak jalan ke sana.

Terusan air panas

Bersama wild woman from Sarawak

InsyaAllah.. InsyaAllah.. (Maher Mir)

Antara kolamnya. Ok yang ni takda air.

Kami tiba di  Konya pada pukul 4.35 petang.  Memang ngam-ngam sampai sebelum muzium Mevlana Jalaluddin Al-Rumi ini ditutup. Siapa Mevlana ini? Ok, mari saya terangkan sedikit.

Makam Mevlana


Mevlana Celaleddin (Jalaluddin) Rumi nama dia. Seorang ahli sufi dari Afghanistan. Hadir ke bumi Turki kerana bapanya dijemput oleh Sultan Selcuk Turks yang pertama sewaktu Gengis Khan menyerang Afghanistan dalam kurun ke 13. Bapak dia ni ahli matematik terkenal di Afghanistan dulu. Mevlana ni terkenal di serata dunia tapi tak taulah kenapa kat Malaysia macam takde siapa pun yang sebut nama dia. Dialah pencipta Semaa. Satu teknik meditasi yang berpusing-pusing macam menari tu. Whirling Dervish orang putih kata. Dia juga seorang penyair. Berpuluh ribu syair telah dinukilkan olehnya. Mevlana ni juga seorang ahli falsafah. Falsafah beliau bukanlah macam falsafah JDT, tapi falsafah beliau lebih kepada kemanusiaan. Beliau adalah ikon kedamaian dan toleransi. Mevlana punya falsafah juga dikatakan terkenal di seluruh dunia. Banyak juga universiti di dunia ini yang mengiktiraf falsafah Mevlana. 'Cinta yang agung asalnya dari hubungan yang utuh antara Tuhan dan Manusia'  menjadi falsafah pegangan Mevlana. Orang jahat kata Mevlana ni gay dengan kawan baik dia, Sham Tabriz. Tapi ilmuan dunia ramai yang menolak teori itu. Inilah sedikit sebanyak tentang beliau.


Bersama En Aras

Whirling Dervish (sema)

Makam Mevlana

Janggut Nabi Muhammad SAW

Quran kecik


Selepas itu, kami meneruskan perjalanan lagi ke tempat yang paling dinanti-nantikan iaitu Cappadocia. Pun sama, perjalanan memakan masa yang panjang. 4 jam lebih baru sampai. Yang buat masa perjalanan bertambah tu sebab di pertengahan jalan, salji turun dengan begitu lebat sekali. Jalan ditutup sementara untuk proses pembersihan salji di atas jalan. Dekat setengah jam juga bas berhenti. First time dapat tengok salji tengah turun dari langit. Dalam perjalanan ni, kami terima berita yang tidak baik. Aktiviti menaiki belon udara panas yang dijadualkan pada esok hari terpaksa dibatalkan disebabkan oleh cuaca buruk. Perghhh. Frust betul rasanya time tu.

Pemandangan dalam perjalanan

Kincir angin

Besar punya kincir angin

Kami tiba di Crystal Hotel, Cappadocia pada pukul 945 malam. Terus sahaja kami menuju ke restoran hotel untuk makan malam. Makan cepat-cepat sebab nak main salji kat luar. Kat luar hotel salji dah mula tebal dah. Salji pula masih turun. Ya, orang Malaysia memang excited dengan salji. Bermain salji sahajalah yang dapat menggembirakan hati aku ketika ini kerana tak dapat naik belon udara panas. Selepas suhu semakin sejuk sehingga -8° celcius, aku pun masuk bilik dan tidur.

Muka excited nampak salji

Fuuuuu.. Tebalnya.

Lepas ni baring atas salji


7 Disember 2017 (Hari ke 6) - Oleh kerana aktiviti belon udara panas batal, kami bergerak agak lewat dari hotel ke tempat lawatan. Pukul 10 pagi baru bertolak. Hari ini lawatan hanyalah di sekitar Cappadocia je. Kami akan berada di sini selama 2 malam. Jadi tak perlu tukar-tukar hotel macam sebelum ini.

Hai kawan-kawan Malaysia, suhu berapa harini?



Olaf


Destinasi pertama kami pada hari ini ialah Kaymakli Underground City. Lebih kurang 15 minit perjalanan guna bas, kami pun sampai. Underground City ni adalah tempat orang-orang Kristian zaman dulu berlindung dari musuh mereka. Lebih kurang macam Piyamit Tunnel kat Betong la. Ada dapur, ada tempat buat wine, ada kandang binatang, ada tempat tidur dan yang paling penting ada sistem pengudaraan yang baik. Jalan-jalan dia tak sebesar Piyamit Tunnel dan tak sekecil Chu Chi Tunnel di Vietnam. Sedang-sedang lah kiranya. Kami meyelusuri terowong Underground City selama 20 minit dan kemudia keluar untuk ke tempat buat karpet pula.

Otw ke underground city

Kg underground

Yg bulat tu pintu. Di golekkan ke kiri, tertutuplah terowong tu.

Pintu 


Kawasan atas underground city


Tempat buat karpet ni pun tak jauh sangat. Dekat je dengan Underground City ni. Kat sini dia tunjuk cara-cara buat karpet. Macam-macam karpet ada. Karpet bulu, sutera dan macam-macam la. Harga paling mahal cecah juta RM juga. Ok kat sini aku tak minat sangat. Jadi aku malas ulas lebih. Gambar pun tak ambik.

Destinasi ke 3 untuk hari ini ialah Pigeon Valley. Tempat ni adalah lembah yang banyak burung merpati. Dalam dinsing lembah ni terdapat hotel-hotel bawah tanah. Pemandangannya pun cantik. Tapi sekadar pemandangan je la. Boleh nampak Uchisar Castle, istana batu Cappadocia.

Belakang tu Uchisar Castle.


Pigeon Valley

Sebab ni la namanya Pigeon Valley


Kemudian, destinasi seterusnya ialah Esentepe Hill. Ni pun tempat pemandangan jugak. Lawa tempat dia. Kat sini memang spot ambik gambar la.




Tak habis lagi lawatan hari ini, kami pergi ke Mushroom Valley pulak. Kat sini boleh la lihat batu-batu unik yang terhasil akibat daripada kesan lahar gunung berapi zaman dulu. Batu-batu ini berbentuk cendawan. Tapi kalau ada yang otak kuning, memang dia fikir bentuk lain la. Batu-batu ini agak rapuh. Kalau kikis guna kuku, boleh tinggalkan kesan kat batu tu.








Seterusnya, kami ke Zelde Open Air Museum. Kat sini penat sikit sebab kena banyak naik tangga. Kawasan ni adalah peninggalan orang-orang Kristian dulu. Sama konsep macam Underground City. Cuma diorang korek dinding gunung untuk dijadikan tempat tinggal. Siap ada gereja lagi. Di zaman Uthmaniyyah, tempat ni telah dikuasai oleh orang Islam dan ada satu gereja dalam tanah diubah menjadi masjid.




Dalam gereja



Masjid



Pintu gereja

Ada lagi, sekarang kami akan ke Camel Rock pula. Dari nama pun kita boleh tau, kat tempat ni ada batu berbentuk unta. Kat sini berhenti kejap je. Sekadar untuk bergambar. Selain unta, ada satu batu bentuk macam penguin.

Penguin


Unta. Yang belakang tu.


Akhir sekali untuk lawatan pada hari ini adalah tempat buat tembikar dan jubin. Tempat ni pun biasa je. Cuma cara yang digunakan adalah tradisional. Tempat ni pun aku tak minat sangat jadi malas nak cerita sangat. Lepas habis melawat tempat ni, kami pun balik ke hotel dengan perasaan dua kali ganda gembira. Sebab apa? Pemandu pelancong kami berjaya menggantikan aktiviti naik belon udara panas pada esok pagi. Horey!

Sneak preview sikit

Ok, cukupla setakat ini untuk bahagian kedua. Lepas ni akan disambung lagi dengan cerita paling best dalam perkara-perkara best kembara Turki kami. Tungguuuu.