Nuffnang ads

Saturday 16 December 2017

KEMBARA TURKI, KEMBARA NEGARA DUA BENUA (PART 3)

Assalamualaikum semua. Kita sambung bahagian 3 untuk Kembara Turki kita. Ya, yang bahagian 2 tu agak panjang sebenarnya. Kali ni aku cuba untuk pendekkan sependek mungkin. Bukan apa, teruja nak cerita secara terperinci agar yang membaca tertarik nak pergi Turki sama (Harap-harap Turkiye Tourism baca rencana aku ini dan berminat untuk bayar komisen).

Mentol lampu

8 Disember 2017 (Hari ketujuh) - Seawal 630 pagi, kami telah bergerak ke tapak pelancaran belon udara panas. Perjalanan dari hotel ke tempat belon mengambil masa selama setengah jam. Suhu merekodkan -5° celcius. Memang suhu yang ideal untuk terbang.

Tak sabar. Dia dah terbang dulu.

Persiapan belon sebelum terbang

Pukul 715 pagi, kami tiba ke tapak berlepas. Tapak perlepasan belon kami adalah di atas bukit paling tinggi dari belon-belon orang lain. Power kan? Tour leader kami, Encik Aras, sudah menyiapkan segala keperluan dan apabila kami sampai, lepas ambik gambar sekeping dua dari darat, terus kami masuk ke dalam bakul yang akan diterbangkan dalam bila-bila masa sahaja. Satu bakul belon udara panas boleh memuatkan 21 orang termasuk seorang pilot.

Belon-belon dah mula terbang dah.

Setelah memeriksa dan berpuas hati dengan semua aspek keselamatan, akhirnya kami pun terbang menuju ke awan. Allahu, seronoknya tak terkata. Aku sedang mengalami dan merasai benda yang paling aku nak buat di Turki. Ibarat kalau tak dapat naik belon ni, serupa tak payah pergi Turki lah. Terima kasih sangat-sangat kepada Encik Aras sebab berusaha juga memenuhi impian kami walaupun aktiviti ini pada mulanya dibatalkan.

Hoo yeaahhh. Sudah terbang!

Pandangan dalam belon

Kami terbang setinggi 800 meter dari tanah. Sejuk betul kat atas tu. Kami disajikan dengan pemandangan yang indah. Daratan serta bukit bukau yang yang dilitupi salji menambahkan lagi kecantikan pemandangan kami. Berpuluh-puluh belon udara panas lain juga sudah berada di udara. Bonus awal pagi, ketika kami di udara, matahari sedang muncul dari ufuk timur. Alhamdulillah, Allah memberi peluang kepada kami untuk menyaksikan sendiri sesuatu yang indah seperti ini.

Matahari belum muncul

Terbitnya matahari dari ufuk timur

Bentuk muka bumi Cappadocia

Layan sendirian

Subhanallah..



:)


Hujung tu Bandar Avanos

Hello Cappadocia













Selepas sejam berjalan-jalan di udara, kami pun mendarat di satu kawasan lapang di sebelah Zelde Open Air Museum yang kami lawat semalam. Yang powernya, belon-belon ni mendarat terus di atas gerabak yang ditarik di belakang kenderaan pacuan 4 roda. Power, power. Di darat, kami diraikan dengan membuka champagne tanpa alkohol dan kami minum bersama-sama sambil berparti. Kemudian, kami pun terus pulang ke hotel untuk bersarapan dan seterusnya menaiki bas untuk ke Ankara dan Bolu pula. Selamat tinggal Cappadocia.

Cheers!

Alhamdulillah. Kami berjaya naik juga akhirnya.

Perjalanan ke Ankara mengambil masa selama 3 jam. Di pertengahan jalan, kami berhenti untuk melawat 'Karavansaray'. Apa bendanya ni? Ok, Karavansaray adalah hotel atau tempat istirehat pedagang-pedagang yang melalui laluan sutera dari Xian, China hingga ke Istanbul. Setiap 40 km, dari Xian hingga Istanbul akan terdapat sebuah Karavansaray. Hotel ini bukan sahaja menyediakan tempat rehat untuk pedagang, malah menyediakan tempat istirehat dan rawatan untuk unta dan kuda yang membawa muatan barang dagangan. Penjagaan untuk haiwan-haiwan ini adalah lagi penting dari pedagang itu sendiri.
Inilah Karavansaray

Dalam Karavansaray

Pedagang kurma

Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Ankara melalui sebelah tasik yang diberi nama Salt Lake. Tasik ini menyediakan 70% bekalan garam kepada seluruh Turki. Tak dalam mana pun tasik ni.. Titik paling dalam pun dikhabarkan hanya 2.5 meter sahaja.

Kami tiba di Ankara pada pukul 3.45 petang. Bas terus membawa kami ke Anitkabir, iaitu tempat bersemadinya jenazah wira dan presiden pertama Republik Turki moden,  Mustafa Kamal Attartuk. Di dalam kawasan ini terdapat muzium perang dan juga muzium barang-barang peribadi Mustafa Kamal Attartuk. Kami jalan sekali lalu je, sebab muzium dah nak tutup. Ada juga la gambar yang diambil untuk kenang-kenangan. Pukul 530 petang, kami bertolak pula ke Bolu dan tiba di Hampton by Hilton pada pukul 830 malam. Di Bolu ini, kami takde melawat mana-mana pun. Hanya perhentian untuk tidur.

Dataran depan memorial MKA

Ni bahagian atas. Kubur MKA yang betul di tingkat bawah. Masuk melalui muzium.

Pengawal muzium

Memorial Mustafa Kamal Attartuk

Laluan dalam muzium

Turkiye

9 Disember 2017 (Hari kelapan) - Kami memulakan perjalanan pulang ke Istanbul pada pukul 815 pagi. Perjalanan ke Istanbul mengambil masa 3 jam. Sepanjang perjalanan aku tidur, jadi aku tak ada benda untuk diceritakan.

Kami tiba di Istanbul pada pukul 10.15 pagi. Kami terus menaiki feri atau lebih dikenali sebagai Bosphorus Cruise di jeti sebelah benua asia. Selama sejam kami bersiar-siar di sepanjang terusan Bosphorus ini. Aku cerita sikit tentang Bosphorus. Bosphorus ini adalah laluan utama kapal-kapal besar untuk ke Laut Hitam dari Laut Mediterranean, Laut Aegean dan Laut Marmara. Bila dah masuk Laut Hitam, kapal-kapal ini boleh terus ke Russia. Setiap tahun, lebih kurang 45,000 kapal besar melalui laluan ini. Ok, itu je yang aku tau.

Pagi yang berkabus di Bolu

Bosphorus Bridge

Seeeeeeelangor!

Ada yang cakap ini mafla Galatasaray.

Boleh buat cover untuk poster filem Istanbul Aku Datang

Layan seagull yang ikut je belakang feri


Lepas sejam kami berjalan-jalan di atas feri, kami turun di jeti sebelah eropah pula. Jeti ni dekat sangat dengan Vodaphone Arena, iaitu stadium untuk pasukan bola sepak Besiktas JK. Tapi lawatan ke stadium tiada dalam jadual. Aku hanya dapat melihat dari jauh sahaja stadium tersebut.

Kemudian, kami dibawa makan tengahari di bawah jambatan Galata. Di atas jambatan ini pula terdapat beratus-ratus orang Turki yang sedang memancing. Ikan tak besar mana pun. Tapi dah hobi mereka, biarlah. Ye dak?
Ikan temenung

Deretan pemancing di atas Jambatan Galata

Aktiviti selepas makan ini adalah aktiviti yang paling ditunggu-tunggu oleh ahli rombongan wanita. Aktiviti membeli belah di Spice Market dan Grand Bazaar. Spice Market banyak menjual manisan Turki ataupun nama glamernya Turkish Delight. Macam-macam delight ada dalam ni. Grand Bazaar pula dikatakan tempat shopping terbesar di dunia. Ada lebih 4000 kedai di dalamnya. Tapi, apa yang menghampakan, barang-barang yang dijual adalah sama di antara kedai-kedai dalam tu. "Teh, baju, seramik, cenderamata dan ulang sampai mampus" kata abang jamil. Kami di sini sampai Grand Bazaar tutup iaitu sampai pukul 7 malam. Kemudian kami makan di sebuah restoran Indonesia dan terus pulang ke hotel. Perasaan sedih mula terasa kerana ini adalah malam terakhir di bumi Turki.
Spice Market

Grand Bazaar

10 Disember 2017 (Hari kesembilan) - Hari ini adalah hari terakhir dari kami di Turki. Beg yang sebelum ini ringan sahaja kini menjadi dua kali ganda berat. Kami akan terbang pulang ke Malaysia pada pukul 1130 pagi. Jadi kami sudah berada di Lapangan Terbang Attartuk pukul 830 pagi. Selepas selesai check in apa semua, kami pun terus ke balai berlepas dan meninggalkan Turki dengan membawa beribu kenangan manis. Kami transit selama 6 jam di Tehran lagi dan sampai di Kuala Lumpur pada hari kesepuluh kembara kami, 11 Disember 2017, pukul 1045 pagi.
Depan hotel sebelum bergerak

Inilah driver kami, Ilhan.

Transit di Tehran

Selamat tinggal Turki

Alhamdulillah, selamat sampai KLIA bersama kenangan manis dari Turki.

Jadi inilah coretan pengalaman aku sepanjang kembara aku di Turki, negara dua benua. Tak mustahil untuk aku pergi lagi jika ada rezeki. Turki memang sebuah negara yang cantik. Pergilah ke sana dan rasailah sendiri pengalaman yang sangat hebat ini.

Sehingga kita berjumpa lagi. Bye bye Turki.



1 comment: