Nuffnang ads

Thursday 22 September 2016

PB Kapcai International Ride


Tanggal 16 September 2016, sempena ulangtahun ke 53 pembentukan negara Malaysia, Pielang Bikers selaku kelab motor tersohor Malaysia telah menganjurkan satu lagi ‘International Ride’ ke Negara Gajah Putih. Ride ini diilhamkan oleh Chip dan dijayakan oleh Ajaaja. Apa yang menariknya untuk ride rasmi kali ini, ia disertai oleh 18 buah motor kapcai, bukan motor besar seperti ride-ride kebiasaan sebelumnya. Aku sudah tentu  la tidak ketinggalan untuk menyertai ride ini.



Walau hujan lebat, antara yang terawal sampai


Dah pukul 9, Ajaja tak sampai lagi

Tujuan ride ni diadakan adalah untuk memberi peluang kepada ahli PB yang telah menjual motor besar mereka. Kasihan mereka dah tiada motor besar seperti Chip, Tok Siak, Abg Dzul, Tuan By dan aku sendiri, Rot Coutinho. Hati masih ingin ‘ride’ tapi selalu kena tinggal. Motor kapcai yang mengikuti ride ini adalah 2 Yamaha Lagenda (Shahir dan Hakim), 1 Honda Future Gold Chain (Tok Siak), 3 Yamaha 135LC v3 (Rot, Hairul Putrajaya, Hazilah), 2 Yamaha 135LC v1 (Hisyam, Darksider), 1 Yamaha Nmax (Abg Dzul), 1 Honda PCX (Yana), 1 Kawasaki Ninja 250 (Shidah) dan 7 Yamaha Y15ZR (Hairul Bukit Jalil, Chip, Ajaaja, Don, Tuan By, Abg Nan dan Mus Panigale Fathers Day).


"Saya tak tau la apa yang saya buat ni betul ke tak.. Baik saya balik rumah main golf" ujar Chip sebelum ditampar oleh Abg Dzul.



Rancangan asal, RV di R&R Rawang pada pukul 7.30 pagi dan tayar golek pada pukul 8.15 pagi. Namun kerana hujan lebat membasahi bumi seawal jam 6.30 pagi, tayar hanya bergolek pada pukul 930 pagi. Permulaan perjalanan tidak berapa lancar kerana jalan yang sesak akibat kemalangan lori di Bukit Tagar. Geng – geng Y15ZR pada mulanya masih lagi bergerak secara berkumpulan, 5 minit selepas itu, mereka semua tidak lagi menoleh ke belakang. Meninggalkan jauh motor-motor yang cc nya lebih rendah. Jangkaan awal, Honda Future merupakan motor paling perlahan. Tetapi sangkaan kami meleset.  Yamaha Lagenda adik aku, Hakim yang paling slow. Paling laju boleh pegi 100km/j sahaja. Aku sebagai seorang abang yang bertanggungjawab, follow la di belakang dengan kelajuan yang sama. Paling sedih, naik bukit sikit, kelajuan drop sehingga 60km/j.  




Oleh kerana motor kapcai bertangki kecil, 5 kali berhenti diperlukan untuk memenuhi tembolok motor masing-masing. 1st stop ialah di Tapah, kemudian di Bukit Gantang, Juru, Gurun dan terakhir di Changlun. Kami makan tengahari di Restoran Bawal Goreng Bawah Kelapa Sawit yang terletak berhampiran dengan tol  Juru. Menjilat jari bai. After that, we resume our journey (bahasa inggeris tuuu) sampai la ke Changlun. Changlun ialah tempat untuk membeli insurans dan menukar duit. Mujur Ajaaja dah deal baik dengan kedai buat insurans tu, kami tidak perlu menunggu lama di sana. Selesai tukar duit, kami terus menuju ke border.

Bawal Goreng Juru Bawah Kelapa Sawit


Sedap hingga menjilat meja

Sila sediakan Rm2 sebagai pelincir

Teruja 1st time keluar Malaysia

welcome to Thailand

Selesai urusan imigresen dan kastam apa bagai, kami pun bergerak menuju ke Hatyai. Seperti biasa, geng-geng Y15ZR ni rasa macam diorang ride bersendirian, meninggalkan motor-motor lain di belakang. Nasib baik diorang berhenti tunggu kami di tepi jalan sebelum masuk bandar Hatyai. Ketika itu, jam menunjukkan pukul 8 malam. Hatyai seperti biasa, jem. Kat sini adik aku yang Hakim bawak Lagenda tu hilang. Rupa-rupanya minyak dia habis. Tiada sesiapa peserta ride perasan dia berhenti di tepi jalan. Nasib baik la jumpa balik. Itu pun jumpa kat Trafik Light. Dia dah nak menuju ke Bangkok dah.

Penat ye bang?

Kiss @ Chic Hotel. Penuh pulak

hotel ni je la. Ok what? Rm70 satu malam.



Kami teruskan perjalanan ke hotel. Yang ini pun gamble juga. Takde buat reservation pun. Hotel yang kami pergi mula-mula ni dah penuh. CHIC Hotel namanya. Ada poster Playboy besar kat lobi. Aku tutup je mata masa masuk lobi hotel tu. Kemudian Ajaaja cari hotel lain. Nasib baik ada. Asia Grand Hotel. Dekat je dengan hotel tadi. Bilik pun selesa. Tapi tilam dia keras macam batu. Ibarat tidur atas papan yang dibalut dengan kain. By the way, itu perkara kecil je. You can count on Ajaaja.


Lee Garden Plaza



Setelah 11 jam mengharungi perjalanan yang tak mencabar sangat, selepas check in hotel, selepas mandi manda, kami semua bergerak ke Restoran Kelantan untuk menjamu selera. Chip panggil restoran ni Kelantan lane. Apa dia ingat sini kedai motor Singapura ke? Restoran ni tak jauh sangat dari hotel kediaman kami. Tapi sebab tak tau jalan, kami beramai-ramai naik Tuk-Tuk. Tambang Tuk-Tuk kat Hatyai ni masih boleh dikategorikan sebagai murah sebab sekepala THB20 sahaja. Bersamaan dengan kalau kita convert mudah, RM2 sahaja. Kalau kat Chiang Mai, THB50 sekali naik walaupun dekat. Order makan kat sini asing-asing. Tapi ramai yang order Tom Yam Pok Tek. Namun, yang sampai Tom Yam putih. Bedal sajalah labu..

kaki lenguh? Mari masat dulu


Tuk-Tuk

Lepas makan, kami beramai-ramai lagi berjalan kaki ke kawasan membeli belah di hadapan Hotel Lee Garden. Kat sini kami dah mula buat aktiviti masing-masing. Ada yang lepak minum, ada yang window shopping, ada yang memerhatikan sekeliling dan ada yang berjalan tanpa arah tujuan. Kebanyakan lanskap di kawasan ini tidak berubah melainkan dah ada eskelator untuk ke Pink Lady. Pihak bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam memudahkan pengunjung dengan tak perlu mendaki tangga. Pukul 11 malam, aku, Chip, Don, Mus, Hisyam dan Hakim pulang ke hotel kerana keletihan. Yang lain masih berpeleseran di Lee Garden.

Pasang K & N Air Filter. Free sahaja

Kedai sticker



Keesokan harinya, aku, Chip , Hisyam dan Hakim bangun lambat. Orang lain dah selamat bersarapan dah. Kelam kabut kami turun untuk bersarapan sampaikan Hisyam tak sempat mandi. Ini kerana, plan asal, kami akan check out hotel dan ride menuju ke Satun dan bermalam di sana pula. Nak bersarap di hotel, was-was dengan kehalalannya. Jadi kami menuju ke kedai Muslim di hadapan kedai SIRI Racing (kedai jual alat ganti dan aksesori kapchai). Di sana kelihatan Ajaaja and the gang sedang bersarapan. Ajaaja kata, ramai yang nak cancel ke Satun sebab tak puas berada di Hatyai. Aku memang bersetuju dengan cadangan ini sebab bolehla aku bawak 2 orang adik aku ni jalan-jalan kat sini. Ni 1st time mereka keluar Malaysia. Banyak tempat menarik lagi yang diorang tak pergi. Akhirnya, sebulat suara kami tidak ke Satun. Stay lagi di Hatyai untuk 1 malam lagi.

Tukar rantai emas, biar laju sikit

Tukar Air Filter, free juga

Hujan. Berteduh.


Pagi ini adalah aktiviti bebas. Jadi masing-masing buat aktiviti sendiri. Ada group yang pergi kedai moto sana, ada group yang pergi kedai moto sini, ada yang buat sticker no plet Thai, ada yang tukar mentol lampu motor, ada yang tukar air filter K & N kena charge THB 250, ada yang tukar air filter K & N secara percuma dan ada yang tak buat apa-apa. Malas nak bergerak katanya (Shahir dan Abg Nan). Selepas itu, kami lunch di Restoran Kai Tod Daycha. Restoran ini direkemen oleh Darksider. 1st time makan kat sini. Masya Allah, sedapnya tom yam dia. Paling best air dia. Teh Tarik Ais. Power baq hang. Sedap. Memang lepas ni kalau ke Hatyai, memang ini restoran wajib singgah.

Restoran Kai Tod Daycha. Sedap. Power.

Teh tarik Ais

Sedap dan berpatutan. Patut dapat anugerah kedai harga patut KPDNKK Thai.


Selepas selesai lunch, masih lagi beraktiviti bebas. Hari masih awal. Jadi kami membuat perancangan untuk jalan-jalan ke Songkhla. Jarak Hatyai ke Songkhla ni dalam 25km juga. Tak semua yang follow. Cuma aku, Chip, Don, Mus, Hisyam dan Hakim. Mula-mula kami ke Samila Beach. Ambil gambar dengan Ikan Duyung dan Kucing Hitam. Banyak juga bas-bas plet Malaysia kat sini. Bermakna ramai orang Malaysia melancong ke sini. Selepas itu kami ke Monumen The Great Serpent Nag. Kepala naga yang memancutkan air dari mulutnya. Mengikut cerita dongeng rakyat Songkhla, Naga ini adalah penjaga wilayah Songkhla. Ok, itu je yang aku tau. Selepas ambik gambar apa semua, kami bergerak menuju ke Khlong Hae Floating Market. Ni dah dekat-dekat dengan Hatyai dah. Tempat pasar terapung. Meriah kawasan ni dengan pelancong dalam dan luar Thailand. Ada macam-amacam makanan dan minuman dijual di sini. Aku macam biasa, beli air kelapa dalam buluh. Rare. Cuma aku pelik, Thailand ni tanahnya luas. Kenapa nak berniaga atas air juga? Kami bertolak pulang ke hotel jam 8 malam.

Tinsulanonda Bridge. Bikers Kental

Bila kau nak masuk dalam laut?


Black cat bone


The Siblings

The Great Serpent Nag





Usai mandi dan bersiap di dalam bilik, kami keluar mencari makanan malam pula. Tak fikir banyak, kami ke Kai Tod Daycha lagi untuk menjamu selera. Sebab dah confirm kene dengan selera kita. Malam ni tak ramai yang makan di sini. Group Ajaaja pergi makan steamboat di Songkhla. Kami tak ikut sebab misi kami adalah tom yam. Abang Hairul Bukit Jalil join kami makan di sini malam ni. Sembang-sembang dengan dia, fuh.. bukan orang biasa-biasa. Don terpana mendengar cerita abang Hairul. Banyak juga ilmu baru dikongsi. Contohnya, Don baru tau dia boleh claim socso dua kali. Kat sini juga la Mus cerita Ducati Panigale dia skang ni bini dia bagi sempena Fathers Day. Menyesal aku tanya dia kenapa beli Panigale. Jeles. Selepas makan dan bersembang panjang, kami terus pulang ke hotel untuk recharge tenaga nak balik esok.



Keesokan harinya, kami bertolak pulang ke Malaysia pukul 10 pagi. Tugasan lead group diberikan kepada Chip. Chip menjalankan tugas dengan baik tetapi hanya sampai Changlun sahaja. Dia dan Don telah menerima mesej berbunyi “Kata sampai rumah sebelum Maghrib. Pukul 2 pun kat sana lagi, bila nak sampai? ” Mesej itu cukup membuatkan Chip dan Don memulas throttle semaksima mungkin dan meninggalkan yang lain. Selepas itu, sampai ke hari ini aku tak jumpa dia lagi.

This two aaa, leader terlampau wooo.. TB wooo..


Hati tak tenang, jiwa tak tenteram. Deadline pukul 5 petang. Sekarang dah 8 malam. Apakah nasibnya selepas ini.

Kelompok dibelakang menunggang dengan rilek sehingga ada 2 motor yang kehabisan minyak. Lagi sekali motor Hakim habis minyak sebelum R & R Gurun dan diikuti pula oleh motor Hairul Putrajaya sebelum Plaza Tol Sg Dua. Mus menjadi hero pada hari ini apabila menunda kedua-dua motor  tersebut hingga ke stesyen minyak. Nak dijadikan cerita, sewaktu menunda motor Hairul, aku menyuruh Hakim jalan dulu dan tunggu kami di Tol Sg Dua sebab kami nak makan di kedai makan Sg Dua sana. Dia pun jalan dulu. Apabila kami sampai di Tol tersebut, bayang-bayang Hakim tidak kelihatan. Aduhhh, hilang lagi. Aku mengambil keputusan untuk patah balik sehingga ke exit Bertam. Cari punya cari punya cari, tak jumpa juga. Tiba-tiba dapat wasap.  Rupa-rupanya, Hakim pergi tunggu kat Tol Juru. Ya tuan-tuan, Tol Juru. Mantap.

Selepas kejadian itu, kami regroup di R & R Bukit Gantang. Dari situ sehingga ke R & R Ulu Bernam, perjalanan kami lancar. Kami berpecah di R & R Ulu Bernam dan group yang menghala ke Shah Alam berhenti makan malam di R & R Elmina. Selepas makan, kami pun bersurai. Alhamdulillah, melalui perbualan wasap, semua peserta selamat sampai ke rumah masing-masing.

Tamat sudah PB Kapcai International Ride edisi pertama. Terima kasih kepada semua yang menjayakan ride ini. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada Aloy dan Hafiz Surani yang datang untuk Flag Off di R & R Rawang. Begitu juga kepada Pak Tam dan Cikgu Isang yang follow ride sampai ke Bukit Gantang dan Gurun. Terima kasih juga pada Mohdi yang macam Chipsmore, kejap ada kejap tak ada. Terima kasih semua.

Ride to Russia pulak lepaa ni


 Punya la semangat, tak sampai 2  bulan, dah ada edisi kedua, ke Betong pula kitaa!!

4 comments: